Pemerintahan Dato' Undang Luak Johol Dato' Undang Luak Johol

Penggiliran jawatan Dato' Undang Luak Johol adalah mengikut penggiliran daripada Suku Biduanda Waris Johol (Waris Johol di-Baruh & Waris Johol di-Bukit) dan Waris Gemencheh. Institusi pemerintahan Luak Johol juga mempunyai perjawatan iaitu Timbalan Undang Luak Johol yang bergelar Yang Mulia Dato Baginda Luak Johol (dahulu Dato Baginda Tan Mas).

Timbalan Undang Luak Johol akan menjadi Dato' Undang Luak Johol secara automatik sekiranya penyandang terdahulu mangkat. Dato Baginda juga adalah ‘haluan sembah’ bagi Dato’ Undang Luak Johol kerana mempunyai kuasa untuk mewakili Dato' Undang Luak Johol dalam pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan mengundi secara proksi.

Jawatan Dato' Undang Luak Johol dan Dato' Baginda Luak Johol diisi berdasarkan giliran bagi Waris Johol dan Waris Gemencheh. Sekiranya Dato' Undang dilantik daripada Waris Johol, maka jawatan Dato Baginda akan diisi oleh Waris Gemencheh dan seterusnya. Kedua-dua jawatan tersebut tidak disandang oleh waris yang sama.

Bagaimanapun, sejak 2016, keputusan dibuat secara sebulat suara oleh pembesar-pembesar Luak Johol dan Suku Biduanda Waris Johol bahawa giliran menyandang Dato' Undang Luak Johol dan Dato Baginda Luak Johol dilakukan antara Suku Biduanda Waris Johol di-Baruh & Waris Johol di-Bukit sahaja.

Pemilihan Dato' Undang Luak Johol dibuat oleh Dato’ Jenang dan Buapak Yang Enam. Dato’ Jenang adalah Kepala Waris Biduanda dan Kepala Buapak Biduanda Yang Enam. Dato' Undang Luak Johol sekarang ialah Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato' Haji Muhammad bin Haji Abdullah, Undang Luak Johol ke-15.

Pemerintahan Dato' Undang Luak Johol dibantu oleh pembesar-pembesar Luak Johol iaitu Lembaga Tiang Balai, Orang Besar Balai dan Buapak Yang Enam. Berikut adalah pembesar-pembesar Luak Johol:-

  • Lembaga Yang Empat (Dato’-Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang Luak Johol)

1) Dato’ Raja Balang (Suku Raja Balang)

2) Dato’ Andika (Suku Seri Melenggang)

3) Dato’ Raja Senara (Suku Mungkal)

4) Dato’ Baginda Raja (Suku Tiga Batu)

  • Orang Besar Balai Undang Luak Johol

1) Dato’ Jenang (Suku Biduanda)

2) Dato’ Gempa (Suku Gempa)

3) Dato’ Menteri (Suku Menteri)

4) Dato’ Panglima Hitam (Suku Raja Balang)

5) Dato’ Panglima Putih (Suku Seri Melenggang)

  • Buapak Yang Enam

1) Dato’ Nenggarang (Suku Nenggarang) - Ketua Buapak Yang Enam

2) Dato’ Paduka Kebangsa (Suku Kebangsa)

3) Dato’ Seribu Garang (Suku Sa-ibu)

4) Dato’ Serumpun (Suku Sarumpun)

5) Dato’ Baginda Melana (Suku Baginda Melano)

6) Dato’ Paduka Raja Lela (Suku Jelelo)